comscore
Tumpuan :
Politik

PASCA PRU-15: PN sudah hantar senarai sokongan sebelum 2 petang tadi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim patut mempersembah senarai Ahli Parlimen yang menyokong beliau kepada Istana Negara lebih awal daripada Perikatan Nasional (PN).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak percaya dakwaan Anwar memiliki sokongan majoriti 112 Ahli Parlimen, untuk dicalonkan sebagai perdana menteri dan cuba mengelirukan rakyat.

Sumber dalam kepimpinan PN berkata, PN sudah menghantar senarai sokongan kepada Muhyiddin sebelum tamat tempoh seperti yang diminta oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 2 petang tadi.

“Selepas itu, ada pihak minta masa untuk menyiapkan senarai. Tempoh itu dilanjutkan sehingga esok (Selasa),” katanya kepada BH Online.

Beliau berkata, Muhyiddin ada mendapat permohonan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berjumpa, namun oleh kerana kekangan masa, perjumpaan itu tidak dapat diadakan.

Ditanya mengenai kemelut dalam UMNO, beliau berkata, kepimpinan UMNO di peringkat bahagian wajar bersuara jika presiden melanggar peraturan parti atau ketetapan Perhimpunan Agung UMNO.

“Apa yang mereka takutkan. Presiden mereka secara terang melanggar persetujuan hala tuju parti yang dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO yang lalu. Jika ada yang hendak dipecat, presiden merekalah yang sepatutnya dipecat.

“Mereka harus bersuara di semua peringkat bukan hanya satu atau dua pemimpin sahaja,” katanya.

Ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing yang berkata, semua Ahli Parlimen GPS akan membuat analisis dan berbincang semua dalam kalangan mereka berhubung calon perdana menteri, beliau menjelaskan, perkara itu sudah diselesaikan dan dijelaskan secara dalaman.

Sebelum ini, King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg akan membuat keputusan berlandaskan analisis itu.

Abang Johari sebelum ini menyatakan GPS bersetuju menyertai kerajaan gabungan bersama PN dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) dan menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini