comscore
Tumpuan :
Politik

PASCA PRU-15: ‘Pramatang, mustahil…’ – Saifuddin kecam kenyataan Hamzah

Datuk Saifuddin Nasution Ismail. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pramatang, mustahil dan tidak konklusif.

Itu 3 ungkapan oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Nasution Ismail yanga mengecam kenyataan pemimpin Perikatan Nasional (PN) bahawa gabungan itu mempunyai lebih 112 surat akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Menurut Saifuddin Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan sebarang SD yang lain atau sebarang rundingan dengan parti-parti lain oleh mana-mana Ahli Parlimen UMNO adalah tidak sah.

Presiden UMNO itu juga, katanya, menegaskan SD lain atau rundingan oleh mana-mana Ahli Parlimen UMNO dengan parti lain tidak boleh diambil kira sebagai bukti sokongan majoriti kepada mana-mana calon Perdana Menteri.

“Ia juga boleh menyebabkan mereka hilang kerusi seperti yang dipersetujui dalam akuan berkanun yang telah mereka tandatangani.

“Oleh yang demikian, PH berpendirian bahawa kenyataan Setiausaha Agung PN itu adalah pramatang, mustahil dan tidak konklusif berkait angka sokongan majoriti yang didakwa telah mereka capai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, PH telah memasuki fasa rundingan yang serius dengan BN, membincangkan perkara utama yang menyentuh mengenai kestabilan politik dan pemulihan ekonomi, dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.

“Hasil perbincangan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Safuddin juga memberitahu, PH mengambil maklum penafian Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kenyataan media tular menyatakan 10 Ahli Parlimen UMNO menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri, adalah tidak benar.

Loading...
Terkini