comscore
Tumpuan :
Politik

PASCA PRU-15: Sentimen perkauman diapikan oleh pihak terdesak – Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangannya melihat sentimen dan retorik perkauman yang terus diapikan oleh segelintir pihak yang terdesak dan berkepentingan terutamanya di saat penting seperti sekarang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, usaha dan ikhtiar dalam menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab dan stabil tidak seharusnya berakhir dengan kekacauan.

Katanya, ini kerana kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, suku kaum Sabah dan Sarawak adalah bersaudara sebagai manusia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

“Saya amat mengalu-alukan kenyataan tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam menghentikan perkembangan yang mampu menggugat kemajmukan Malaysia ini,” katanya dalam ciapan di Twitter, malam tadi..

Semalam, Acryl menasihati rakyat tidak menimbulkan sebarang situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial susulan pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, sejak keputusan PRU-15 diumumkan, polis mengesan pelbagai bentuk kandungan yang menyentuh sentimen perkauman dan agama serta menghina institusi diraja melalui media sosial.

Susulan itu, Acryl memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platfom itu.

Katanya, tindakan tegas mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan sebarang situasi mengancam keselamatan dan mengganggu ketenteraman awam.

Loading...
Terkini