comscore
Tumpuan :
Politik

PASCA PRU-15: Sertai kerajaan perpaduan tak bermakna jual prinsip parti – Azalina

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pengerang​​​​​​​ Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan langkah menyertai kerajaan perpaduan tidak bermakna perlu menjual prinsip dan dasar sesebuah parti.

Sebaliknya mereka boleh bersetuju dengan manifesto bersama untuk memasukkan seluas mungkin janji dalam manifesto berkenaan.

Menerusi Facebooknya, Azalina berkata, ini membolehkan parti-parti mengekalkan dasar dan prinsip mereka serta memastikan pengundi tidak merasa ditipu.

Kini ujar beliau, terpulang kepada parti politik untuk mengenepikan agenda peribadi dan perbezaan demi mengutamakan rakyat sekaligus menghormati titah Agong.

“Pembentukan kerajaan yang merangkumi parti dan gabungan berbeza boleh dilihat sebagai gabungan besar dan disifatkan ‘Gabungan-Pasca PRU-15’,” katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selasa lalu, menitahkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan perpaduan demi negara dan rakyat.

Seri Paduka Baginda juga menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menjadi sebahagian kerajaan baharu.

Azalina turut menyenaraikan beberapa varian perpaduan politik lain antaranya kerajaan majoriti kuat dengan pembangkang bertanggungjawab atau kerajaan minoriti.

“Kini terpulang kepada parti politik untuk mengenepikan agenda peribadi dan perbezaan demi mengutamakan rakyat sekaligus sebagai tanda penghormatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

“Seri Paduka Baginda telah menitahkan segera menyelesaikan krisis politik yang menyebabkan Parlimen tergantung dengan penubuhan kerajaan perpaduan,” jelasnya.

Loading...
Terkini