comscore
Tumpuan :
Politik

PBS Akur Guna Lambang GRS

PENAMPANG : Parti Bersatu Sabah (PBS) akur terhadap keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menggunakan lambang gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata walaupun PBS sebelum ini bertanding menggunakan lambang sendiri yang lebih dikenali, keputusan pada kali ini adalah atas dasar solidariti dalam GRS.

“PBS akan bertanding menggunakan lambang GRS. Ini keputusan GRS dan kita ikut arahan itu.

“Ini kerana kita (PBS) adalah sebahagian daripada kerajaan GRS hari ini,” katanya ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat PBS, di Donggongon, di sini, semalam.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16), September 2020, PBS bertanding menggunakan lambang sendiri di 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menang tujuh daripadanya.

Kerusi terbabit ialah Matunggong, Tandek, Telupid, Kundasang, Kiulu, Tamparuli dan Lumadan.

Ketika itu, PBS bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Maju Sabah (SAPP) serta Barisan Nasional (BN) sudah membentuk kerjasama melalui GRS.

Sebelum ini, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor mengumumkan calon parti komponen gabungan itu akan menggunakan lambang GRS pada PRU15.

Mengenai jumlah calon mewakili PBS dalam GRS pada PRU15, Maximus yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota

Marudu, berkata pihaknya ada senarai yang diminta namun belum diputuskan lagi.

Difahamkan, agihan kerusi dalam GRS hanya dapat diputuskan selepas rundingan di antara GRS dan BN mengenai kerjasama dalam PRU15 selesai.

Rundingan kedua-dua pihak, khususnya berkaitan agihan kerusi belum lagi dimuktamadkan setakat ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PBS bertanding lima kerusi Parlimen iaitu di Kota Marudu, Keningau, Batu Sapi, Tawau dan Kota Kinabalu, namun hanya menang satu kerusi iaitu Kota Marudu.

PRU15 di Sabah hanya membabitkan pertandingan kerusi Parlimen iaitu di 25 kawasan pilihan raya berikutan tempoh DUN Sabah sekarang masih berbaki tiga tahun lagi. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini