comscore
Tumpuan :
Politik

Pecat Phahrolrazi tindakan disiplin biasa – Mohamad Sabu

IPOH: Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan pemecatan keahlian Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi sebagai tindakan disiplin biasa.

“Dalam disiplin parti ia perkara biasa… dahulu dalam parti lama PAS Datuk Asri (bekas Yang Dipertua Agung, Datuk Mohd Asri Muda) pun diambil tindakan disiplin,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Jelajah Mega Harapan Perak di Pasar Tambun di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemecatan serta merta Phahrolrazi yang juga ADUN Alor Mengkudu itu.

Media semalam melaporkan AMANAH memecat keahlian Phahrolrazi kerana didapati melanggar perlembagaan parti.

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dilaporkan berkata, Phahrolrazi mengingkari keputusan dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Pemecatan dibuat berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2(b), Jawatankuasa Pengurusan Nasional Parti Amanah Negara yang bermesyuarat semalam.

Phahrolrazi dalam kenyataan medianya semalam berkata tindakan membantah keputusan meletakkan calon DAP bagi kerusi Parlimen Jerai bermatlamat menjaga kepentingan Pakatan Harapan (PH) dan membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Ke-10.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu mengesahkan kerusi Parlimen Jerai dan Changkat Jong diberikan kepada DAP.

Loading...
Terkini