comscore
Tumpuan :
Politik

Pelantikan Anwar lambang kebijaksanaan dan kematangan politik – MB Selangor

Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM: Pelantikan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini menunjukkan lambang kebijaksanaan dan kematangan politik demi kestabilan negara.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembentukan kerajaan yang sepakat dan padu adalah penting dalam berdepan cabaran getir yang dijangka dihadapi negara pada tahun hadapan.

Katanya, perkara itu juga menyerlahkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menyarankan sebuah kerajaan perpaduan dengan hampir semua blok mengambil keputusan menyertainya.

“Perjuangan sangat panjang dan alami liku-liku pertembungan dan jatuh bangun akhirnya Datuk Seri Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10. Saya ucapkan ribuan tahniah bagi pihak kerajaan negeri atas pelantikan beliau.

“Saya percaya ini lambang kebijaksanaan dan kematangan politik demi kestabilan negara setelah masing-masing menguji sokongan dan populariti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas,” katanya kepada pemberita di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pelantikan itu juga adalah cabaran bagi Pengerusi PH berkenaan terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang dijangka pada awal tahun hadapan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan ‘berpindah’ menjadi Menteri Persekutuan atau kekal sebagai Menteri Besar Selangor selepas memenangi kerusi Parlimen Gombak pada PRU-15, Amirudin memaklumkan beliau lebih selesa untuk kekal di Selangor.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, ia berikutan beberapa perancangan yang perlu dilengkapkan dan diselesaikan antaranya, Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Jika ditanya secara peribadi, saya lebih ‘prefer’ untuk meneruskan kerja di Selangor dan bukan soal jawatan di pusat (Kerajaan Persekutuan) atau di negeri.

“Sebagai Ahli Dewan Negeri dan Parlimen, saya juga boleh menghubungkan kerajaan Selangor dan Persekutuan dengan lebih baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata beliau juga percaya tiada perubahan berlaku sehingga pembubaran DUN dilaksanakan.

Loading...
Terkini