comscore
Tumpuan :
Politik

Pembahagian kerusi bagi PRN belum diperinci – PAS

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga dari kiri) merasmikan Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu Tahun 2023 di Dewan Serbaguna MDS Sungai Tarom – FOTO: NSTP

SETIU: PAS masih belum mengadakan rundingan terperinci mengenai agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini hanya perbincangan perkara asas dilakukan berhubung agihan kerusi.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, pihaknya masih mempunyai masa lagi untuk membuat keputusan.

“Setakat ini hanya berbincang perkara-perkara asas sahaja tentang agihan kerusi, secara terperinci itu belum sampai lagi. Insya-Allah masa itu ada lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu Tahun 2023 di Dewan Serbaguna MDS Sungai Tarom, di sini, semalam.

Ahmad Samsuri berkata, pihaknya juga akan menyembah maklum tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin apabila tiba masanya.

“Bila pilihan raya, Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) akan membuat keputusan dan Jun pun bergantung kepada tarikh yang akan kita sembah maklum kepada Tuanku (Sultan Terengganu) dan ini juga di bawah bidang kuasa Tuanku,” katanya.

Media melaporkan, enam negeri dijangka akan mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing bagi memberi laluan kepada PRN pada Jun depan.

Enam negeri berkenaam adalah Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dam Pulau Pinang.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya berharap dapat melaksanakan PRN enam negeri berkenaan.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini