comscore
Tumpuan :
Politik

Pembangunan Parlimen Tangga Batu akan diteruskan semula

Calon BN Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Jalan persisiran pantai, pembangunan ekonomi, eko pelancongan dan projek perumahan mampu milik yang tergendala sejak sepenggal lalu akan menjadi fokus utama di Parlimen Tangga Batu.

Bakal calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong yang terpilih bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di kawasan itu berkata, pembangunan di Tangga Batu kini dilihat agak perlahan dalam tempoh empat tahun lalu.

Jika diberi kepercayaan dan mandat oleh pengundi Tangga Batu pada PRU-15 ini, pembangunan infrastruktur membabitkan rancangan pembinaan jalan persisiran pantai yang sebahagian besar merentasi parlimen itu akan diperjuangkan.

“Ia bertujuan sebagai sebahagian bagi penguraian trafik. Pembinaan ini kelak bukan hanya memberi manfaat kepada penduduk Parlimen Tangga Batu malah rakyat Melaka secara keseluruhan.

“Ini adalah rancangan jangka masa panjang yang boleh diketengahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Sekiranya ada jalan persisir pantai ini ia akan membantu merangsang pembangunan bukan sahaja di Parlimen Tangga Batu malah Negeri Melaka,” katanya ketika ditemui di Tangga Batu hari ini.

Pada masa sama, kata Ban Hong, kepentingan golongan muda juga akan diberi perhatian dalam memastikan mereka bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan malah boleh memiliki kediaman sendiri.

“Di Tangga Batu ini ada kawasan perniagaan serta perindustrian, dan ia boleh dimajukan lagi dari segi menarik lebih banyak pelaburan termasuk pelaburan berteknologi tinggi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda terutamanya lepasan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Rumah mampu milik juga sangat penting kepada golongan muda bagi membolehkan mereka mempunyai rumah pertama saya akan usahakan, memandangkan sebelum ini saya sudah usahakan kediaman PPR Klebang,” katanya.

Menurut beliau, lokasi parlimen itu yang mempunyai pantai yang menjadi tumpuan pelancong juga boleh dibangunkan serta mempunyai potensi sebagai eko pelancongan memandangkan pelancongan antara penyumbang utama ekonomi negeri.

“Pembangunan eko pelancongan itu nanti akan memberi tumpuan kawasan desa yang memfokuskan kepada keindahan alam sekitar dan juga alam semulajadi. Pelaksanaan ini kelak dilihat akan membantu pembangunan ekonomi Melaka.

“Malah sekitar Tangga Batu juga banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di mana juga menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dan sekiranya diberi mandat oleh rakyat saya akan membantu pembangunan PMKS ini agar dapat lahirkan lebih banyak usahawan selain membentuk ekosistem perniagaan yang lebih baik,” katanya.

Loading...
Terkini