comscore
Tumpuan :
Politik

Pembangunan pengangkutan awam keutamaan Radzi, Mohd Rosli di Putrajaya

PUTRAJAYA: Pembangunan infrastruktur dan pengangkutan awam antara keutamaan calon-calon yang bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Dr Radzi Jidin berkata infrastruktur dan kemudahan awam terancang adalah antara lima tunjang dalam 50 tawaran yang akan dilaksana sekiranya memenangi kerusi Parlimen itu.

“Kita perlukan perkhidmatan bas yang boleh beri kemudahan kepada semua warga Putrajaya. Isu kemudahan tempat letak kereta pula akan dirangka,” katanya ketika berucap melancarkan tawarannya untuk penduduk Putrajaya di sini malam ini.

Beliau turut memaklumkan tawaran yang dibuatnya untuk warga Putrajaya itu bermatlamat mengoptimumkan potensi Putrajaya ke tahap yang lebih tinggi.

“Tawaran ini dihasilkan melalui input serta maklum balas daripada warga Putrajaya antaranya jemaah surau, pesara kerajaan serta anak muda,” katanya.

Sementara itu, calon Pejuang di Parlimen Putrajaya Datuk Mohd Rosli Ramli turut beriltizam menjadikan kemudahan pengangkutan awam di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu bertambah baik.

“Saya ada idea untuk tingkat pengangkutan awam di Putrajaya… laluan bas juga akan dikaji semula supaya pelanggan tidak menunggu lama,” katanya ketika meninjau operasi Putrajaya Sentral hari ini.

Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Radzi (PN-Bersatu), Mohd Rosli (GTA-Pejuang), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-UMNO), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH-PKR) serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi. – BERNAMA

Loading...
Terkini