comscore
Tumpuan :
Politik

Pemberian peranti siswa diteruskan jika BN diberi mandat – KJ

Khairy Jamaluddin beramah mesra bersama pelajar yang menerima bantuan peranti siswa Keluarga Malaysia di UiTM Sungai Buloh

SUNGAI BULOH: Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia akan dicadang untuk diteruskan jika Barisan Nasional (BN) mendapat mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan kajian dilakukan pihaknya mendapati dalam kalangan penuntut T20 and M40 sudah memiliki peranti sendiri.

“Jadi, kita buat keputusan untuk beri peranti siswa ini kepada pelajar di semua IPT. Saya nak cadangkan kepada Perdana Menteri dan ini bukan janji manis.

“Kalau kita berjaya membentuk kerajaan, kita pastikan program peranti siswa ini dikekalkan kepada pelajar pada setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Peranti Siswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Khairy berkata, kepentingan peranti dalam sesi pembelajaran menjadikan alat itu bukan lagi tergolong dalam kategori barang ‘mewah’ tetapi menjadi keperluan kepada golongan pelajar.

“Walaupun kita sudah keluar dari PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tetapi kita masih memerlukan peranti untuk sesi pembelajaran yang banyak dijalankan secara digital.

“Mungkin golongan T20 dan M40 sudah memiliki barang ini yang dilihat sebagai ‘luxury’ (mewah) namun bagi B40, mereka tidak mampu memiliki peranti ini.

“Jika kita bagi pinjam (peranti), ia tidak masuk akal. Justeru, kita buat keputusan untuk terus beri kepada pelajar dan siswazah yang memerlukan,” katanya.

Katanya, tidak semua pelajar mahupun siswazah yang menerima bantuan itu menyalahgunakannya dengan menjualkannya semula kepada pihak ketiga.

“Kita tahu ada isu pelajar yang menjual tablet yang diberikan, namun itu hanya membabitkan segelintir pelajar sahaja dan tidak semua.

“Ini kerana ada ramai lagi pelajar memerlukan peranti ini termasuk mereka yang terpaksa meminjam telefon bimbit ibu bapa dan belajar menggunakan skrin yang kecil untuk belajar ,” katanya.

Loading...
Terkini