comscore
Tumpuan :
Politik

Pemilihan UMNO: Proses cabut nombor undi, jam 2 petang esok

Tujuh calon menawarkan diri merebut tiga jawatan naib presiden,manakala Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menarik diri.

KUALA LUMPUR: Proses cabutan undi nombor calon yang bertanding jawatan peringkat UMNO pusat pada pemilihan kali ini akan diadakan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini esok.

Proses cabutan undi akan dilakukan calon atau wakil, namun jika mereka tidak dapat hadir, cabutan akan dibuat Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) bagi pihak calon.

Menurut portal UMNO Online hari ini, cabutan undi nombor akan dimulakan calon Puteri UMNO mengikut susunan jawatan dipertandingkan, iaitu pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan ahli jawatankuasa (AJK), bermula jam 2 petang.

Seterusnya pada jam 3 petang, proses sama akan dilakukan bagi calon jawatan dalam Pemuda dan pada jam 4 petang, calon jawatan dalam Wanita akan membuat cabutan undi nombor mereka.

‘Tak perlu tambah jadi empat bagi Johor, nanti seorang pun tak menang’ – Ahmad Maslan

Calon bagi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pula akan membuat cabutan undi nombor mereka mengikut susunan jawatan dipertandingkan iaitu pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, naib presiden dan ahli MKT pada jam 5 petang.

Keputusan cabutan undi nombor akan dipaparkan di skrin Auditorium UMNO, selain dimuat naik di laman web www.umno-online.com.my pada Jumaat.

Untuk memastikan kelancaran proses berkenaan, semua calon dan wakil calon diminta hadir mengikut waktu ditetapkan, selain sentiasa mematuhi tataetika ditetapkan JPU sepanjang proses Pemilihan UMNO 2023 berlangsung.

Semalam, Pengerusi JPU, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memaklumkan, secara keseluruhan, seramai 383 calon bertanding merebut jawatan di peringkat UMNO pusat, termasuk dua pencalonan bagi Pengerusi Tetap UMNO dan 10 bagi Timbalan Pengerusi Tetap.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 118 pencalonan diterima bagi merebut jawatan tertinggi UMNO, khususnya naib presiden dan ahli MKT pada pemilihan parti 18 Mac depan.

Turut bertanding adalah tujuh pemimpin kanan yang menawarkan diri merebut tiga jawatan naib presiden selepas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menarik diri, manakala 95 calon akan merebut jawatan Ahli MKT.

Calon bertanding naib presiden ialah penyandang jawatan, iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hanya seorang penyandang Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Ahli Parlimen Bera mengesahkan tidak bertanding dalam pemilihan kali ini.

Wanita UMNO akan menyaksikan saingan dua penjuru bagi jawatan ketua, iaitu di antara penyandang, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan bekas ketua sayap itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Puteri UMNO pula, masing-masing membabitkan saingan lima dan enam calon.

Loading...
Terkini