comscore
Tumpuan :
Politik

Pemuda UMNO Johor mahu pemimpin parti bertindak segera ‘remajakan’ BN

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah. FOTO : NSTP

JOHOR BAHRU : Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) diharap dapat mengambil tindakan segera melakukan pemulihan dan proses rejuvinasi demi memastikan kelangsungan UMNO dan BN di masa akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, perkara itu perlu diambil perhatian selepas melihat kputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menunjukkan gelombang perubahan dibuat orang Melayu khususnya anak muda.

Beliau berkata, keputusan ditunjukkan menerusi saluran golongan anak muda pada hari mengundi semalam, jelas menunjukkan mereka menolak UMNO dan BN.

“Gelombang perubahan ini menyaksikan BN dikejutkan dengan hanya memenangi 30 kerusi Parlimen dan hanya sembilan kerusi Parlimen di negeri ini.

“Menyedari dan menerima hakikat angin perubahan yang berlaku ini, saya selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, menyeru kepada barisan kepimpinan tertinggi parti untuk sama-sama bertindak segera melakukan rejuvinasi parti demi memastikan kelangsungan UMNO dan BN.

“Saya percaya UMNO dan BN berupaya bangkit dan diterima khususnya oleh pengundi muda jika proses pemulihan serta rejuvinasi ini dilakukan bermula dari sekarang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, tanpa perubahan dan usaha bagi meneruskan kelangsungan Umno dan BN, tidak mustahil parti itu akan terus ditolak dan tidak lagi menjadi pilihan pengundi dalam pilihan raya seterusnya.

“Buat seluruh rakyat Johor, Insya-Allah Johor masih lagi berfungsi seperti biasa di bawah pentadbiran Kerajaan BN yang diterajui oleh Menteri Besar, Dato Onn Hafiz Ghazi,” katanya.

Berdasarkan keputusan PRU-15, BN dilaporkan hanya berjaya memperoleh 30 kerusi Parlimen dan ia jumlah yang lebih rendah berbanding yang dicapai pada PRU-14.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor pula, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, walau apa pun yang berlaku, usaha membantu rakyat akan tetap diteruskan BN.

Katanya, tanggungjawab memartabatkan syiar Islam akan tetap diperkasakan selain mengutamakan usaha mempertingkatkan ekonomi negeri dan negara.

“Allah telah menetapkan segalanya dan kita wajib mensyukuri nikmat kemenangan yang dikurnia dan menginsafi kekalahan yang dialami.

“Ini suatu proses rejuvinasi parti. Kepada Allah kita berserah,” katanya juga menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, beberapa suara di Johor menggesa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO meletak jawatan termasuk Onn Hafiz dan Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Loading...
Terkini