comscore
Tumpuan :
Politik

Penerimaan baik kaum Cina, India di Simpang Renggam petanda positif terhadap BN

KLUANG: Penerimaan kaum Cina dan India terhadap calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Simpang Renggam, disifatkan agak memberangsangkan selepas beberapa pertemuan dilakukan sejak Sabtu.

Pengerusi BN Johor dan calon gabungan itu di kerusi berkenaan, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata penerimaan berkenaan dilihat sebagai petanda awal yang positif dan yakin ia mampu diterjemahkan kepada undi pada 19 November nanti.

“Sebagai wakil rakyat di Simpang Renggam, saya harus mempunyai cerminan (yang) mewakili pelbagai kaum dan ia tidak menjadi masalah kerana mempunyai perancangan untuk mereka.

“Mereka juga menyambut baik kedatangan saya melalui ‘walk about’ sama ada di bandar Simpang Renggam ataupun di Pekan Layang-Layang,” katanya mengulas mengenai sentimen dan penerimaan kaum Cina dan India di kawasan Parlimen berkenaan.

Terdahulu, beliau menyertai majlis dialog bersama badan bukan kerajaan (NGO) di warung Wak Kayun di Kampung Sahari di Simpang Renggam, di sini.

Ketika diminta mengulas mengenai pelawaan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Maszlee Malik, bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam untuk mengadakan debat ketika kempen PRU15 berhubung isu rakyat, beliau menyatakan lebih gemar mengambil pendekatan berdialog.

Beliau berkata dengan kaedah berdialog termasuk bersama orang kampung, cara itu akan menjadikannya lebih dekat dengan rakyat sekali gus memahami pemikiran dan permasalahan dihadapi rakyat.

“Lebih elok kita adakan dialog dengan orang kampung daripada saya dengan awak (calon parti lain) nak berdebat…kita nak tunjuk apa dengan orang Simpang Renggam. Marilah kita dialog, calon-calon yang ada kalau boleh berdialoglah dengan orang kampung.

“Sambil kita dengar soalan…kita faham apa orang kampung rasa, apa ada dalam pemikiran mereka, bukan kita berdialog (debat) ditonton oleh orang Simpang Renggam…sudahnya kita akan syok sendiri, berdebat berdua nak buat apa, lebih baik kita faham apa orang bawah nak,” katanya.

Parlimen Simpang Renggam mempunyai 59,053 pengundi.– BERNAMA

Loading...
Terkini