comscore
Tumpuan :
Politik

Penggantungan bukan satu pengakhiran – Hishammuddin

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang digantung keahlian dalam UMNO menyifatkan tindakan itu bukan pengakhiran kepada karier politiknya.

Bekas Naib Presiden UMNO itu menjelaskan, ia adalah suatu perkara baharu yang perlu ditempuhi dalam meneruskan usaha serta agendanya membela agama, bangsa dan tanah air.

“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sudah memutuskan untuk menggantung keahlian saya dalam parti selama enam tahun.

“Berkenaan apa langkah seterusnya, saya terpaksa berbincang dengan kepemimpinan UMNO Sembrong untuk memikirkan apa hala tuju dan tindakan selanjutnya.

“Apa yang berlaku tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk cekal berjuang demi agama bangsa dan tanah air

Ini bukanlah pengakhiran, tapi hanya permulaan. Permulaan yang baharu,” katanya dalam satu video yang dikongsi di Facebook beliau, malam ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dalam kenyataannya malam tadi, mengesahkan penggantungan Hishammuddin, selain Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga berdepan nasib sama, manakala Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya, diberi surat tunjuk sebab.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar serta lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO negeri Pahang, dipecat keahlian. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini