comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Pengundian Parlimen Padang Serai Bermula

Oleh: Selwam Arjunan

KULIM: Pusat Mengundi bagi Parlimen Padang Serai dibuka pada jam 8 pagi bagi menyempurnakan Pilihan Raya di kawasan berkenaan yang ditangguh susulan kematian bekas calon Pakatan Harapan (PH) selepas proses penamaan calon.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selasih mendapati, pengundi beratur di luar pusat mengundi sejak 7 pagi untuk menyempurnakan hak demokrasi mereka.

Mengambilkira barisan panjang di jalan raya, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pengundi masuk ke dalam perkarangan sekolah pada jam 7.45 pagi.

Pengundi mula beratur di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selasih sejak jam 7 pagi.

Proses pembuangan undi bagaimanapun hanya dimulakan pada jam 8 pagi.

Pusat mengundi di SMK Taman Selasih mempunyai hampir 7,000 pengundi berdaftar.

Pilihan Raya bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan ke hari ini susulan kematian penyandangnya, Karupaiya Mutusami, 69, pada 12 November, iaitu seminggu sebelum PRU-15.

Berikutan itu, Setiausaha PH Negeri Kedah, Dr Mohamad Sofee Razak dinamakan sebagai calon pengganti.

Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru yang mana Dr. Sofee ditentang calon BN, Datuk Sivaraj Chandran; Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Ananda AK (Bebas).

Datuk Sivaraj bagaimanapun berundur diri dan menyeru pengundi memilih Dr Sofee berikutan tertubuhnya kerajaan campuran di peringkat pusat.

Loading...
Terkini