comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Peniaga Pasar Tani Setiawangsa mengadu kepada Juwairiya tidak mahu pindah

 

Oleh Juliana Sharin

HULU KELANG: Isu pemindahan Pasar Tani Setiawangsa ke lokasi baru akan diberi perhatian oleh calon Pakatan Harapan (PH) sekiranya beliau memenangi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Hulu Kelang pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor 2023.

Janji itu dibuat oleh Juwairiya Zulkifli bagi membantu 100 peniaga yang memohon supaya mereka dibenarkan kekal berniaga di tapak lama.

Juwairiya, 38, adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati.

“Memerlukan perbincangan lanjut dengan pihak DBKL dan juga FAMA supaya kebajikan mereka terjaga dan sekiranya di pindahkan tetapi lokasi yang strategik dan membolehkan pelanggan mereka tetap boleh hadir dan tidak menjejaskan perniagaan mereka,” katanya.

Aduan itu disampaikan sendiri kepadanya yang turun padang menyantuni peniaga dan pengunjung pasar itu di Jalan Keramat AU2.

Hadir sama Pengerusi BN Wilayah Persekutuan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberi sokongan kepada Juwairiya, seiring kerjasama gabungan PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan.

Jelas Juwairiya lagi cadangan pemindahan itu berpunca daripada faktor pembangunan di kawasan itu.

Pengerusi Pasar Tani Setiawangsa, Fatimah Abdul Rashid berkata penduduk di lokasi baharu yang dicadangkan turut membantah pemindahan itu.

“Jalannya tidak berapa cantik menurun bukit, penduduk di sana tidak puas hati tapak ini dipindahkan di sana. Peniaga ni juga rasa tidak selesa, maknanya penduduk dan peniaga pun tidak selesa pindah. Jadi kita mohon tetapkanlah tapak ni. Kalau hendak dipindahkan itu, pelanggan-pelanggan yang mana sudah berusia sukar untuk mendaki ke atas bukit,” jelasnya.

Justeru peniaga yang sebahagiannya adalah pengundi di DUN itu meletakkan harapan kepada wakil rakyat yang baharu dipilih kelak untuk memperjuangkan nasib mereka.

Di lokasi sama itu diadakan pasar malam yang beroperasi mulai sebelah petang, juga pada setiap Sabtu.

Pasar Tani Setiawangsa ini telah beroperasi di kawasan itu lebih lapan tahun, selepas dipindahkan dari hadapan kompleks sukan MSN Setiawangsa.

Loading...
Terkini