comscore
Tumpuan :
Nasional

Perhimpunan Agung Khas Bersatu: 6 ahli parlimen kekal sokong kerajaan perpaduan akan cabar di mahkamah

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Enam Ahli parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan perpaduan mempertikaikan kesahihan pindaan perlembagaan parti itu dan bersedia membawa perkara itu ke mahkamah.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, pindaan perlembagaan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Khas Bersatu siang tadi tidak akan membuatkan mereka menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman

“Kalau retrospektif bermakna pindaan ini berniat jahat. Jadi saya tidak akan fikir ROS akan luluskan. kedua kalau sekiranya ah kami ditanya adakah kami menyokong setelah dibuat pindaan jawapan kami tetap sama bahawa kami tetap menyokong. Ini kerana sokongan diistihar sebelum pindaan.

“Jadi kalau sekiranya itu diangap melanggar parti maka kita tunggulah keputusan speaker parlimen dan juga mahkamah,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan Bersatu itu akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sebaliknya menegaskan sebarang keputusan mengosongkan kerusi adalah di bawah bidang kuasa speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

“Saya sebenarnya merasakan bahawa pindaan ini sebenarnya tidak boleh diluluskan oleh ROS. Kalau diluluskan apa sahaja berlaku saya tidak akan meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen sehinggalah mahkamah membuat keputusan.

“Saya sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang bersama-sama dengan rakan yang telah memberikan sokongan kepada Perdana Menteri bertekad tidak akan meletakkan jawatan dan akan cabar di mahkamah. Adakah pindaan ini boleh dipakai atau tidak dan mahkamahlah yang akan tentukan apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanafi pula berpandangan perubahan yang dibuat hanya memberi kelebihan kepada pucuk pimpinan parti itu untuk bertindak.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanafi

“Bagi saya tambahan ini hanya untuk memberikan kelebihan kepada ahli majlis pimpinan tertinggi untuk ambil tindakan kepada mana mana ahli parti yang mana menentang atau tidak patuh arahan parti maka keahlian mereka terlucut secara serta-merta.

“Bagi saya ini tidak mengikat dengan Akta Lompat Parti itu sendiri, dan sekiranya mereka bertindak lebih daripada perkara 10.4 10.5 10.6 kita akan serahkan kepada peguam untuk ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Dilaporkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimen berkenaan untuk bertanyakan pendirian mereka mengenai sokongan terhadap Perdana Menteri.

Menjawab kepada kenyataan itu Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, pihaknya mengalu-alukan surat tersebut.

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim

“Saya akan menunggu surat tersebut kerana sebelum ini pun kita telah mengalu-alukan sebarang surat sama ada surat tunjuk sebab atau apa-apa surat tindakan kepada kami sekiranya kami didapati bersalah kerana jelas dalam perlembagaan parti termasuk perkara 10 tidak ada kaitan dengan Akta Lompat Parti. Saya tidak nampak dan saya sudah rujuk kepada peguam kami semua tiada isu,” ujarnya kepada Buletin TV3.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid

Dua lagi  Ahli Parlimen berkenaan, adalah Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini