
Oleh: Kumaran Rajamoney
KULIM: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yakin perjanjian gabungan diusahakan semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan dapat membentuk sebuah kerajaan stabil dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Perjanjian itu yang dijangka ditandatangani minggu depan akan memastikan adanya persamaan dasar menerusi rundingan yang mengikat semua program dirancang parti-parti politik terlibat.
“InsyaAllah, rakyat akan menjadi lebih jelas mengenai perancangan oleh gabungan politik ini apabila perjanjian ini ditandatangani. Sudah tentu mereka mahu tahu apakah yang mampu dilakukan oleh parti yang telah bersengketa lebih 20 tahun,” katanya
Rafizi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata, agenda parti dalam Kerajaan Perpaduan kini adalah untuk menolak anasir kebencian yang boleh memecah belahkan.
“Kita nak elakkan supaya berikan ruang lompong yang mewujudkan kes culik Ahli Parlimen untuk menyokong satu-satu pihak. Jadi perjanjian ini meletakkan risiko yang rendah dalam soal penculikan Ahli parlimen ini.
“Kita ada dasar yang sama dan lebih fokus bagi menyelesaikan permasalahan rakyat. Jadi lebih baik Perikatan Nasional (PN) berhenti berangan. Nak culik (Ahli Parlimen), atau hendak jatuhkan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Ayuh Malaysia Padang Serai sempena PRU Ke-15 Parlimen Padang Serai di Kampung Tunku Putra, di sini malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri; Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merangkap Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.