comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Perjuangan belum selesai dan baru sahaja bermula’ – Hamzah

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Perhimpunan Agung Tahunan Kali Yang Kelima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diadakan di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Cheras. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan belum sampai waktunya untuk khidmat serta kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti itu berakhir.

Sebaliknya, beliau berkata, perjuangan parti ketika ini baru sahaja bermula dengan mempertahankan Muhyiddin selaku simbol yang memberi inspirasi untuk menentang kemungkaran dan menegakkan keadilan.

Beliau mengakui, inspirasi ini jugalah yang mengubah landskap politik negara apabila Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan.

“Perjuangan belum selesai. Perjuangan lebih panjang dan baru sahaja bermula. Tan Sri (Muhyiddin) perlu kita pertahankan dengan kudrat yang ada, insya Allah kami juga akan berjuang demi Tan Sri.

“Dasar-dasar Anwar Ibrahim (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang menindas rakyat serta politik dendam Anwar harus kita lawan demi rakyat, demi negara.

“Kerana itu khidmat Tan Sri belum berakhir. Amat jelas khidmat Tan Sri masih diperlukan, perjuangan kita baru bermula,” katanya ketika berucap menyokong usul menolak peletakan jawatan Presiden BERSATU pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Kelima BERSATU, hari ini.

Foto: NSTP

Semalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU bersetuju mengekalkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti itu.

MPT menegaskan pertuduhan ke atas Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai Presiden BERSATU dan bukannya atas kapasiti peribadi.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, penindasan disasarkan terhadap Muhyiddin adalah semata-mata kerana BERSATU apabila pihak terbabit sukar untuk mencari kesalahan atas kapasiti individu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berdepan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM195 juta.

Beliau juga dijangka berdepan satu lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram esok.

Loading...
Terkini