comscore
Tumpuan :
Politik

Perjumaan Dengan `Top Five’ UMNO Sabtu Ini Untuk Bincang Tarikh PRU-15, Ditangguh

KUALA LUMPUR: Perjumpaan dengan lima pemimpin tertinggi atau ‘Top Five’ UMNO bagi membincangkan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijadual diadakan Sabtu ini, ditangguhkan.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia susulan penangguhan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas yang sepatutnya diadakan pada hari sama.

Beliau berkata, perjumpaan dengan lima pemimpin utama UMNO itu akan diatur semula sebelum berlangsungnya mesyuarat MKT akan datang.

Katanya, tarikh baharu bagi mesyuarat MKT Khas UMNO itu bagaimanapun akan diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, nanti.

“Sabtu ini sepatutnya mesyuarat MKT Khas tetapi kita menerima mesej bahawa ia ditangguhkan.

“Kebiasaannya sebelum mesyuarat MKT, akan ada perjumpaan dengan ‘Top Five’ dan biro politik…jadi perjumpaan akan dibuat pada mesyuarat akan datang,” katanya kepada pemberita, di sini, malam ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia, di sini.

‘Top Five’ UMNO merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan perdana menteri sendiri.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata pertemuan dengan lima kepimpinan tertinggi UMNO bagi tujuan membincangkan tarikh PRU-15 akan diadakan dalam masa terdekat mungkin sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober depan.–BERITA HARIAN

Loading...
Terkini