comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Perlu bincang jika ada pemimpin UMNO dipecat mahu sertai PKR – Rafizi

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berbincang terlebih dahulu jika ada pemimpin UMNO yang dipecat mahu menyertai mereka.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata beliau tidak boleh membuat keputusan itu secara berseorangan sebaliknya ia perlu dibuat secara kolektif oleh semua pemimpin PKR.

 

“Yang itu kita kena bincang dahulu di peringkat parti. Ia bukan keputusan saya seorang.

“Saya rasa kita kena tengok perkembangan satu demi satu,” katanya kepada pemberita selepas Program Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen, semalam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan, malam tadi mengesahkan Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin dipecat daripada UMNO.

Kedua-duanya dipecat parti disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahmad Maslan berkata, ahli UMNO yang digantung hak-hak dalam parti selama enam tahun adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Ahli Parlimen Sembrong), Datuk Maulizan Bujang (Ketua Bahagian Tebrau), Datuk Seri Mohd Salim Sharif (Ketua UMNO Jempol) dan Shahril Sufian Hamdan (bekas Ketua Penerangan UMNO).

“Turut dipecat, lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO negeri Pahang.

Antara kesalahan mereka adalah menjadi calon Bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terbabit membantu parti lawan ketika PRU-15,” katanya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, perbincangan di peringkat parti itu akan dibuat jika perkara berkenaan timbul.

“Sekarang ini perkara itu tidak timbul. Kalau perkara ini timbul, barulah kita bincang tetapi belum lagi, maka setakat ini jadi spekulasi sahaja,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini