comscore
Tumpuan :
Politik

Perselisihan dalam UMNO diraikan, tidak bawa perpecahan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab soalan ketika Program Ruang Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama YAB Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan dalam parti yang besar seperti UMNO, perbezaan dan perselisihan pendapat adalah diraikan, namun ia tidak membawa kepada sebarang perpecahan.

Perdana Menteri berkata, pembangkang sengaja menggembar-gemburkan isu dalaman sedangkan dua atau tiga minggu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersamanya turun ke empat zon Program Solidariti, untuk bersama rakyat.

“Sebenarnya tidak ada sebarang perpecahan. Perselisihan pendapat memang diraikan di dalam parti yang besar seperti UMNO, tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perpecahan dan sebab itu, saya dengan Presiden UMNO turun bersama kepemimpinan tinggi UMNO dan BN (Barisan Nasional).

“Maknanya, kita hendak tunjuk kepada rakyat bahawa isu perpecahan dalaman tidak ada dan juga isu perpecahan dalam BN, komponen dengan UMNO juga tidak ada. Itu sebabnya setiap kali program, kepemimpinan BN akan turut bersama,” katanya dalam program Ruang Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama Perdana Menteri, malam tadi.

Perdana Menteri ditanya mengenai dakwaan kononnya berlaku pertelagahan dalam BN dari segi pemilihan calon serta perselisihan pendapat berkaitan isu tertentu.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, dalam isu pemilihan calon BN, ia tidak pernah sempurna sejak dahulu dan akan ada isu ketidakpuasan hati mengenai calon pada setiap Pilihan Raya Umum (PRU).

“Perkara itu berlaku dan lumrah PRU. Ia bukan sahaja dalam UMNO dan kalau kita lihat dalam DAP juga timbul isu yang menyebabkan bantahan dalam kalangan mereka. Sebagai contoh di Parlimen Bentong, bekas MP (Ahli Parlimen) Wong Tack digugurkan dan digantikan calon lain yang menyebabkan beliau bertanding atas tiket Bebas kerana tidak berpuas hati dengan DAP.

“Begitu juga dengan PKR, contohnya Tian Chua yang tidak berpuas hati dengan keputusan di Parlimen Batu dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri mengakui pada peringkat awal terdapat sedikit kekecewaan, namun mereka yang tidak tercalon dan kecewa sudah kembali semula kepada parti.

“Terima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa misalnya, walaupun nampak pada peringkat awal ramai gembar-gemburkan yang dia akan bertanding dengan (atas tiket) Perikatan Nasional (PN) dengan lambang PAS dan sebagainya, akhirnya Tan Sri Annuar buat `come back’ kepada kita.

“Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga dianggap sebagai seorang yang tidak berpuas hati, tetapi akhirnya beliau bekerja keras untuk memastikan calon Parlimen Pasir Salak dapat kemenangan,” katanya.

Mengulas mengenai kubu kuat pembangkang, Ismail Sabri berkata, BN yakin untuk menewaskan sesiapa sahaja dan ‘nama besar’ bukan penghalang parti bekerja kuat meraih kemenangan.

“Kalau kita lihat di Parlimen Sungai Buloh, kekalahan BN waktu itu adalah lebih daripada 20,000 (majoriti). Waktu itu, calon bukan daripada UMNO sedangkan kawasan itu adalah kawasan majoriti Melayu.

“Ini suatu cabaran kepada orang Melayu yang meminta kerusi itu diberikan kepada UMNO. Apabila kita berikan kepada UMNO, maka tidak ada alasan bagi mereka merampas kerusi itu,” katanya. -BULETIN TV3

Loading...
Terkini