comscore
Tumpuan :
Politik

Pertikai Jadi Calon PM, Anwar Sindir Abdul Latiff

Anwar berucap pada Program Jelajah Mega Harapan di Alor Gajah malam tadi.

Oleh Baharuddin Mohamed

ALOR GAJAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Datuk Abdul Latiff Ahmad yang mendakwa kononnya beliau tidak layak untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Ujarnya, kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sendiri masih belum pasti untuk mengulas mengenai perkara itu.

“Oh Latiff…kerusi dia pun belum tentu,” katanya sambil tertawa sinis ketika ditemui media selepas menyampaikan ceramah pada Pelancaran Jentera PRU-15 sempena Jelajah Mega Harapan Melaka di Taman Sungai Petai Permai di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan dikeluarkan penyandang kerusi Parlimen Mersing itu yang mendakwa Datuk Seri Anwar tidak layak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri kerana masih berdepan kes mahkamah atas tuduhan serangan seksual terhadap bekas pembantunya, Yusoff Rawther.

Menurut Datuk Abdul Latiff, adalah satu kebiasaan di mana-mana negara di dunia apabila seorang pemimpin menghadapi tuduhan salah laku seksual di mahkamah, beliau perlu menarik diri daripada sebarang pilihan raya atau jawatan kerajaan sehingga selesai kes mahkamah tersebut.

Mengulas isu sama, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang menegaskan semua dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar perlu diadili di mahkamah untuk menentukan kebenaran atau sebaliknya.

“Bagi kita apa pun pendakwaan dan sebagainya biarlah mahkamah yang tentukan. Isu moral yang selalu ditujukan kepada Datuk Seri Anwar itu adalah isu yang berulang kali disebut.

“Tapi kalau kita lihat di PH, Anwar adalah calon terbaik berdasarkan pengalaman, kesungguhan dan segala pengalaman beliau dalam mengharungi rencam politik di Malaysia,” katanya.

Pada 14 Julai tahun lalu, Yusoff memfailkan kes sivil atas kejadian serangan seksual terhadapnya yang didakwa berlaku di kediaman bekas majikannya itu pada 2018.

19 Oktober lalu, mahkamah telah mengarahkan Setiausaha Akhbar Datuk Seri Anwar membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 serta kos kepada Yusoff.

Loading...
Terkini