comscore
Tumpuan :
Politik

PH akan ‘all out’ hadapi PRN, akui corak pengundian berbeza

Chow Kon Yeow

NIBONG TEBAL: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan bekerja secara ‘all out’ mulai bulan depan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlaku bila-bila masa saja.

Ia susulan gabungan itu dilaporkan akan kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan gelombang kemaraan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, corak pengundian pada kali ini amat berbeza didorong atas pelbagai faktor yang mempengaruhi pengundi dalam menentukan pilihan pemimpin mereka.

Katanya, hal itu berdasarkan undi di beberapa kawasan DUN tertentu pada PRU-15 lalu yang didapati majoriti merosot dan tidak memihak kepada PH serta memerlukan strategi baru bagi menawan hati pengundi.

“Keputusan di peringkat Parlimen mengikut saluran-saluran pengundian memberi satu gambaran sebenarnya pengundi di kawasan masing-masing terhadap pilihan yang mereka buat.

“Jadi, ini satu indikator (petunjuk) kepada kita memandangkan pilihan raya tidak diadakan secara serentak dan jika ia diadakan serentak sekali pun pengundi akan tetap menggunakan kebijaksanaan mereka memilih di peringkat Parlimen dan DUN.

“Dalam keputusan PRU-15 lalu, kita dapati dalam DUN tertentu kita tidak mendapat undi majoriti yang bermaksud kita kalah dan perkara ini dipandang serius.

Ia memerlukan analisis bagi mencari kelemahan seterusnya mengatur strategi yang sesuai bagi memastikan pada akhirnya kita dapat kemenangan di peringkat PRN nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya yang meramalkan bahawa PH bakal kehilangan beberapa kerusi pada PRN kelak berikutan gelombang luar biasa PN terutamanya keputusan PRU-15 di Padang Serai, Kedah, Rabu lalu.

Terdahulu, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang ditemui pada Program Khatan Perdana DUN Jawi di Dewan Serbaguna Jawi, di sini, hari ini.

Semalam sebuah portal melaporkan bahawa Kon Yeow meramalkan PH boleh hilang enam atau tujuh kerusi dalam PRN akan datang berdasarkan trend yang dilihat dalam PRU-15.

Menurutnya, walaupun ia tidak menjejaskan penguasaan PH di Pulau Pinang namun pengaruh gabungan itu tidak akan menjadi sekuat dulu.Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, jentera PH akan melakukan kerja-kerja susulan bagi menghadapi PRN sebaik keputusan PRU-15 digazetkan.

“Ketika ini kita sedang berehat sambil membersihkan kawasan, menyediakan laporan serta menyerahkan semua penyata perbelanjaan dan sebagainya.

“Mungkin menjelang Januari ini, kita perlu all out (berusaha sehabis baik) daripada segi pengaturan strategi, penganjuran program serta membuat lawatan mendekati masyarakat disamping berjumpa dengan agensi bagi mencari penyelesaian kepada isu-isu yang kita kumpul semasa kempen PRU lalu,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini