comscore
Tumpuan :
Politik

PH-BN berdepan tugas berat rampas Kedah – Sanusi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

YAN: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bakal berdepan tugas berat sekiranya ingin menawan Kedah daripada Perikatan Nasional (PN), kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, biarpun ketika ini PN memiliki kelebihan, namun pihaknya tetap tidak memandang rendah gabungan PH dan BN yang bakal menjadi lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kedah menjadi tarikan bagi pihak PN mahupun PH dan BN. Kita sedang memerintah, mereka pula berhasrat rampas negeri ini kerana mereka nak rampas Kelantan dan Terengganu tak larat, jadi mereka mahu Kedah.

“Tetapi bukan jalan mudah untuk PH dan kita juga tak anggap pakatan mereka itu mudah dihadapi. Sebab itu kita persiapkan jentera lebih awal dan sudah mulakan kempen yang dibenarkan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada minggu keempat Jun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Himpunan Jentera Pilihanraya PN Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di sini, malam tadi.

Sementara itu, Muhammad Sanusi dalam ucapannya berkata, PH dan BN pernah menjadi kerajaan di Kedah, tetapi gagal menguruskan negeri itu dengan baik, sebaliknya meninggalkan banyak hutang.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, audit yang dibuat pada 2008 ketika PAS memerintah Kedah mendapati BN berhutang infrastruktur bekalan air sehingga RM2.4 bilion ketika itu.

“Masa jadi kerajaan mereka buat apa? Semasa BN perintah Kedah saya nak ingatkan semula pada tahun 2008 kita (kerajaan negeri PAS) telah buat audit dan mendapati BN tinggal hutang bekalan air berjumlah RM2.4 bilion.

“Datang PH (jadi kerajaan) tinggal hutang gaji pemain bola sepak tidak bayar RM16 juta. Kutip dana kes bekas pemain Kedah dapat RM50,000 dan masuk akaun cuma RM10,000.

“Setiap orang itu semua ada penyakit, untuk elak benda itu dan kekal negeri ini bersih, tenang dan berdaya huni maka kekalkan PN sebagai kerajaan yang tadbir Kedah,” katanya.

Loading...
Terkini