comscore
Tumpuan :
Politik

PH-BN Selangor muktamadkan 49 kerusi PRN 

FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Sebanyak 49 kerusi bagi Pakatan Harapan (PH) Selangor dan Barisan Nasional (BN) Selangor yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi sudah disepakati, setakat ini, menurut Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari .

Ia katanya  sekaligus menjadikan perbincangan pembahagian kerusi bagi gabungan parti Kerajaan Perpaduan itu sudah selesai hingga 83 peratus.

“Sudah ada 49 kerusi yang ‘confirm’. Saya percaya masing-masing tahu dan kita mempunyai peluang cerah (menang).“Kalau 49 kerusi (selesai dimuktamadkan), maknanya ada tujuh lagi belum selesai.

“Tujuh kerusi lagi yang perlu ada negosiasi. Saya percaya dengan masa pembubaran, masa penamaan calon, saya yakin ia boleh diselesaikan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, SUK di sini, petang tadi.

Amirudin berkata, semua kerusi yang sudah disepakati tidak akan ada sebarang perbincangan lagi kecuali jika ada keperluan tertentu.

“Jadi (ini) perkembangan yang besar selepas dua kali pertemuan di peringkat negeri dan dua kali di peringkat pusat. Maknanya satu perkembangan sangat bagus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut diminta mengulas laporan portal berita berhubung permintaan BN Selangor yang mahukan 17 berbanding 10 kerusi.

“Perbincangan sedang dilakukan, selagi kata putus belum dibuat segalanya belum muktamad.

“Proses muktamad akan dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan juga Pengerusi Jawatankuasa parti-parti Perpaduan.

“Jadi apa-apa pun perkara dalam perbincangan sewajarnya ‘keep on’, bukan dibahaskan, ianya belum jadi kata putus,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada unsur lebih atau kurang terhadap pembahagian kerusi dan sepatutnya semua perlu melihat kepada kaedah kemenangan berbanding quota.

Loading...
Terkini