comscore
Tumpuan :
Politik

PH hilang ‘taring’ di Permatang Pauh

GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) gagal mengubat duka apabila kecundang dalam misi menawan semula Permatang Pauh pada pilihan raya negeri (PRN) yang melabuhkan tirainya, malam tadi.

Bermula dengan kekalahan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Nurul Izzah Anwar pada pilihan raya umum (PRU) ke-15, PH dilihat seakan-akan hilang taring untuk mempertahankan pengaruh di kubu kuat gabungan itu.

Lebih mengejutkan apabila PH kecundang kepada Perikatan Nasional (PN) di tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang berada dalam Parlimen Permatang Pauh, masing-masing Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.

Keputusan di DUN Seberang Jaya yang menyaksikan pertembungan dua penjuru memihak kepada PN yang diwakili Izhar Shah Arif Shah dengan majoriti 4,926 undi.

Dalam keputusan itu, Izhar Shah meraih 20,877 undi, berdepan lawannya yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim.

Kemenangan di DUN Penanti turut memihak kepada PN menerusi wakilnya, Zulkefli Bakar dengan majoriti 3,575 undi.

Zulkefli yang juga Pengerusi BERSATU negeri meraih 12,586 undi dalam persaingan dua penjuru, sekali gus membenam lawannya dari PH, Rosidi Hussain yang hanya memperoleh 9,011 undi.

Beralih ke DUN Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim @ Md Hashim daripada PN berjaya menundukkan lawannya juga dalam pertembungan dua penjuru dengan majoriti 3,108 undi.

Amir Hamzah daripada PAS meraih 13,526 undi; menundukkan calon AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil (10,418 undi).

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kepala Batas Bukhori Ghazali daripada PN yang berjaya menawan kerusi DUN Pinang Tunggal selepas kalah pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 lalu tidak menyangka menang dengan majoriti tinggi yang undinya didapati bukan sahaja diperoleh daripada pengundi Melayu tetapi bukan Melayu.

Bercakap pada sidang media malam tadi, beliau turut menyifatkan kekalahan di tiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh itu sebagai pengajaran kepada PKR untuk memperbaiki prestasi parti berkenaan.

“Tiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh menjadi antara fokus PKR selepas kekalahan Nurul Izzah pada PRU-14. PKR mahu beri signal kita mahu hentikan gelombang hijau.”

“Bagaimanapun, saya masih belum terima analisa keputusan bagi ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh, namun saya rasa ia adalah persaingan sengit. Kalau ketiga-tiga DUN ini kalah dengan majoriti yang kurang berbanding PRU-15, ini menunjukkan kita masih berpeluang memperbaiki prestasi di tiga DUN berkenaan,” katanya.

Loading...
Terkini