comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PH jelajah enam negeri mulai Januari, persiapan hadapi PRN

Datuk Saifuddin Nasution Ismail. – Foto: NSTP

ALOR GAJAH: Pakatan Harapan (PH) akan menjelajah ke enam negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula bulan depan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agung PKR, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu sebagai usaha untuk meyakinkan pengundi di semua negeri berkenaan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Menerusi perbincangan saya dengan Timbalan Presiden PRK, Rafizi Ramli baru-baru ini, selain menjalankan tugas hakiki sebagai anggota Kabinet, kami juga menggalas tugas penting dengan mengadakan persiapan PKR dan PH untuk mendepani PRN yang tempohnya sekitar enam bulan dari sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri ditemui selepas menghadiri Semarak Azam Baru 2023, Dari Harapan ke Perpaduan di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari.

Pada PRU-15, enam negeri tidak membubarkan DUN iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Saifuddin berkata, perjanjian gabungan di antara parti dalam Kerajaan Perpaduan yang bakal dimeterai dalam tempoh terdekat, berbeza  dengan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang disifatkan beliau sebagai perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA).

“CSA adalah perjanjian antara kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Tapi kini satu ikatan di bawah kerajaan dinamakan Kerajaan Perpaduan yang mempunyai sejumlah parti atau gabungan yang masing-masing mempersetujui asas kerjasama yang dibentuk,” katanya.

Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengumumkan gabungan dan parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan akan menandatangani satu perjanjian bersama, bagi memastikan kelancaran dan kestabilan pentadbiran negara.

Menteri Ekonomi itu dilaporkan berkata, perjanjian yang bakal ‘mengikat’ PH, Barisan Nasional (BN) serta parti dari Sabah dan Sarawak itu turut menggariskan prinsip diguna pakai kerajaan.

Loading...
Terkini