comscore
Tumpuan :
Politik

PH pula harap BN beri laluan di Padang Serai

Mohamad Sofee selepas menyampaikan ceramah sempena kempen PRU-15 Parlimen Padang Serai di Kampung Padang Ubi. – Foto NSTP

PADANG SERAI: Selepas berkompromi di DUN Tioman, Pakatan Harapan (PH) kini mengharapkan balasan daripada Barisan Nasional (BN) agar dapat memberi laluan kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Padang Serai.

Namun calon PH Parlimen Padang Serai, Dr Mohamad Sofee Razak, berkata jika terpaksa bertembung sesama sendiri, beliau tiada pilihan kecuali bekerja keras untuk memastikan penguasaan di kerusi itu kekal bersama PH.

“Satu tugas besar kepada saya untuk memastikan PH menang di sini dan teruskan kecemerlangan ditinggalkan mendiang M Karupaiya.

“Seperti mana yang berlaku di DUN Tioman, PH kompromi kepada BN. Cuma kita harap perkara itu boleh berlaku juga di Padang Serai iaitu BN beri peluang kepada PH.

“Namun kalau sekiranya berlaku pertembungan (antara PH dan BN) pada pandangan saya, kami kena kerja lebih kuat untuk PH menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai di sini, malam tadi.

Semalam PH mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon BN bagi DUN Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata bagi memenangkan calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang mewakili Kerajaan Perpaduan, jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN.

Sebelum ini, Calon BN Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj merasakan tidak adil untuknya memberi laluan kepada PH di kerusi terbabit, sebaliknya meminta Mohamad Sofee yang didakwa baru tiba di Padang Serai memberi laluan kepadanya memandangkan beliau sudah tiga tahun ‘bekerja keras’ di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Mohamad Sofee berkata pihaknya belum mengadakan sebarang perbincangan bersama BN berhubung perkara itu setakat ini, namun keputusan mengenainya perlu dibuat pucuk pimpinan PH dan BN di peringkat Pusat.

Selain Mohamad Sofee dan Sivaraaj, Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru turut membabitkan calon Perikatan nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin, Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Mohd Bakri Hashim (WARISAN) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Loading...
Terkini