comscore
Tumpuan :
Negeri

PH Pulau Pinang cadang umum awal tempoh PRN

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di Dewan Sri Pinang, hari ini. – FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menyifatkan Jun sebagai masa sesuai diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, tempoh itu memberi ruang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN.

“Dalam mesyuarat Ahad lalu, PH Pulau Pinang cuma berbincang secara am bahawa Jun sesuai untuk adakan PRN.

“Kami kemukakan cadangan jika boleh diumum awal, contohnya pada Januari atau Februari bahawa kita akan adakan PRN pada Jun.

“Dengan cara itu, kita mempunyai kepastian mengenai kerangka masa (tempoh PRN), tetapi jika ada tempoh lain dalam Mei atau Jun juga tidak mengapa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di Dewan Sri Pinang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berhubung jangkaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mei ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Enam negeri akan terbabit dengan PRN tahun ini iaitu Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu termasuk Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Mengenai kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri, Kon Yeow berkata, pihaknya belum menerima arahan daripada PH Pusat berhubung perkara itu.

“Ketika bermesyuarat Ahad lalu, PH Pulau Pinang mengandaikan PH Pusat yang bermesyuarat lebih awal mempunyai keputusan mengenainya tetapi belum ada arahan berhubung rundingan.

“Jadi belum ‘kawan’ (dengan BN), cuma ‘kawan’ pada peringkat Kerajaan Persekutuan setakat ini,” katanya.

DUN Pulau Pinang dijadual bersidang selama dua hari bermula 6 Mac ini dan notis akan dikeluarkan dalam tempoh 28 hari sebelum persidangan bermula.

Undang-undang Tubuh Negeri Pulau Pinang menetapkan tidak boleh ada selang masa melebihi enam bulan antara persidangan terakhir dengan sesi akan datang dan kali terakhir DUN bersidang ialah pada November lalu.

Loading...
Terkini