comscore
Tumpuan :
Politik

PH Selangor runding bentuk kerjasama PRN

Datuk Seri Amirudin Shaari. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Selangor akan memulakan siri rundingan rasmi dalam tempoh terdekat, bersama parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) bagi memutuskan bentuk kerjasama yang turut menyentuh soal agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari, berkata PH akan bermesyuarat segera bagi mendapatkan mandat rakan gabungan memulakan rundingan terbabit.

“Saya perlu dapatkan mandat akhir daripada PH dijangka sebelum sambutan Tahun Baharu Cina ini dan akan cuba panggil mesyuarat dalam minggu berikutnya.

“Paling tidak pun, bersama pimpinan utama PH negeri untuk memberi kita mandat mengadakan pertemuan dan perbincangan (dengan parti di luar komponen PH).

“Perkara pertama akan dibuat selepas melihat perkembangan di Johor dan Melaka ialah wakil rakyat BN dianggap wakil rakyat kerajaan.

“Paling tidak pun masa persidangan pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN), wakil rakyat BN akan menjadi sebahagian kerajaan Selangor,” katanya ditemui media pada Program Serahan Bantuan DUN Dusun Tua di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, perbincangan tidak rasmi sudah dimulakan manakala gerak kerja berjalan ke arah membina kerjasama yang dihasratkan.

Katanya, gerak kerja ketika ini bertumpu kepada kerjasama rasmi dan yakin semua pihak mempunyai masa mencukupi bagi meluruskan kerjasama sebelum pilihan raya.

Pada Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor semalam, Amirudin antara lain meminta parti mengaktifkan segera jentera di peringkat cabang dan daerah mengundi negeri itu, sebagai persediaan awal menghadapi PRN.

Beliau berkata, semua jentera boleh mula mengadakan perhimpunan untuk merangka program sebelum kerajaan negeri memohon pembubaran DUN Selangor secara rasmi selewat-lewatnya Jun ini.

Mengenai permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) bertanding di dua DUN dengan membentuk kerjasama bersama PH pada PRN Selangor kelak, Amirudin berkata, hal itu perlu diputuskan kepimpinan utama PH.

“Itu saya kena dapat mandat pentadbiran dan pimpinan utama PH kerana ‘mood’ ketika ini adalah Kerajaan Perpaduan tetapi kita perlu lihat secara keseluruhan, terutama parti yang memberi sumbangan.

“Kita akan cuba memberi keadilan kepada semua,” katanya.

Loading...
Terkini