comscore
Tumpuan :
Politik

PH tak kenakan syarat tubuh kerajaan negeri – Wan Rosdy

Pengerusi PH Pahang Amirudin Shari (kiri), Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkongsi pentas pada ceramah pilihan raya di Rompin malam tadi. foto ihsan fb Wan Rosdy Wan Ismail

ROMPIN: Keputusan Barisan Nasional (BN) memilih Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri kerana blok politik itu sedia bekerjasama tanpa meletakkan sebarang syarat supaya kerajaan negeri ditubuhkan segera demi kestabilan rakyat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata
Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor menghubunginya selepas keputusan muktamad Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung selepas tiada blok politik memperoleh majoriti mudah, yang berlaku buat kali pertama di negeri ini.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang berkata beliau turut dihubungi Perikatan Nasional (PN) untuk berbincang mengenai pembentukan kerajaan negeri.

Namun PN yang diwakili Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meletakkan beberapa syarat bagi tujuan itu.

Antara syarat itu adalah Wan Rosdy diberi jawatan menteri penuh bertaraf senator, manakala jawatan Menteri Besar dan Yang Dipertua DUN diberi kepada PN, sementara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dibahagi secara sama rata dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan juga diberikan kepada PN.

Bagaimanapun, Wan Rosdy berkata PN kemudiannya menawarkan jawatan Menteri Besar kepada BN selepas dimaklumkan PH tidak mengenakan sebarang syarat dalam pembentukan kerajaan negeri.

“Saya kira-kira dan lihat ini bukan hendak berbincang tetapi sudah ditetap dan ditentukan… kalau saya setuju dengan permintaan mereka.

Di DUN Pahang ada 42 kerusi, kalau saya setuju mereka akan ada 22 undi di DUN yang boleh menyebabkan saya tersingkir pada bila-bila masa.Jadi (jika ia berlaku) apa akan berlaku pada kerajaan negeri? Kita hendak tubuhkan kerajaan negeri kerana nak teruskan agenda kita untuk bekerja, teruskan kestabilan dan kemakmuran. Banyak agenda hendak dilakukan, bukan untuk politiking,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum PRU-15 DUN Tioman dan Pasar Besar Rompin, di sini malam tadi.

Buat kali pertama di Pahang, BN dan PH berkongsi pentas pada ceramah pilihan raya apabila turut sama pada program itu ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Amirudin.

“Keputusan untuk bersama PH bukan keputusan saya seorang. Saya bawa dalam perbincangan dengan rakan ADUN, dalam Badan Perhubungan UMNO… saya ceritakan apa yang berlaku dan kami ADUN dan BN Pahang sebulat suara bersetuju nak bersama dengan PH,” katanya.

Sementara itu, Mohamad dalam ceramahnya mengingatkan semua pengundi DUN Tioman untuk mengundi calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain selepas PH mengambil ketetapan supaya calon mereka Mohd Fadzli Mohd Ramly memberi laluan kepada calon itu, mengambil kira perkembangan di Pahang dan Persekutuan yang menyaksikan kerjasama antara BN dan PH.

Beliau juga mengakui, pada awal kerjasama itu, ditanya oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimana beliau akan berceramah dengan UMNO selepas 44 tahun “menghentam” mereka.

“Saya pun tidak tahu bagaimana nak bermula. Kita dalam politik boleh berubah kawan dan rakan, tetapi tidak akan mengubah matlamat dan dasar yang kita pegang. Kita akan ambil kritikan pembangkang, teguran rakyat untuk membina negara yang lebih baik dengan menjunjung Perlembagaan yang ada,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan untuk memberi laluan kepada calon BN bagi pilihan raya itu, Mohamad berkata pihaknya tidak menerima sebarang tentangan daripada pimpinan negeri berhubung keputusan itu.

“Setakat ini tiada (tentangan), rungutan itu perkara biasa . Insya-Allah kita boleh uruskan ini keputusan parti bila keputusan dibuat semua kena patuh kalau ada yang tak berpuas hati saya ingat itu sementara,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jika kerjasama sedemikian akan diteruskan di peringkat Pilihan Raya Negeri (PRN) beberapa negeri akan datang, Mohamad berkata ia akan diputuskan berdasarkan perkembangan semasa.

PRU-15 DUN Tioman akan diadakan pada 7 Disember ini, setelah ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61 pada hari pengundian 19 November lalu.

Pilihan raya itu akan menyaksikan saingan lima penjuru antara Mohd Johari, Mohd Fadzli, Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (PEJUANG) dan Sulaiman Bakar (Bebas). – BERNAMA

Loading...
Terkini