comscore
Tumpuan :
Politik

Phahrolrazi dipelawa sertai UMNO

Bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

JITRA: UMNO Kedah mempelawa bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri itu, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, menyertai parti itu demi meneruskan perjuangan dalam politik.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Othman Aziz, berkata pelawaan itu dibuat berikutan Phahrolrazi mempunyai banyak pengalaman dan antara pemimpin yang sudah lama berada di dalam gelanggang politik bersama PAS sebelum menyertai AMANAH.

Katanya, beliau sendiri terkejut dengan pemecatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu selepas memboikot pilihan raya apabila kerusi Parlimen Jerai yang sebelum ini ditandingi AMANAH, diberikan kepada calon Melayu daripada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sekiranya Datuk Phahrolrazi hendak bersama dengan kita, kita mengalu-alukan seperti menadah nyiru ini ditawarkan stadium kita kemukakan.

“Saya yakin Datuk Phahrolrazi juga seorang tokoh lama yang faham sepak terajang pokitik di kedah ini kalau dia hendak bersama kita sudah tentu kita mengalu-alukan kehadiran beliau,”katanya ketika ditemui selepas menghadiri perjumpaan bersama ahli Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pering, Jerlun di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff diumumkan sebagai calon di kerusi Parlimen Jerai, satu-satunya kerusi Parlimen yang akan ditandingi DAP di Kedah pada PRU15.

Phahrolrazi tidak hadir di Majlis Pengisytiharan calon PH Kedah dibuat di Bandar Laguna Merbok sebelum beliau diumumkan dipecat keahlian parti oleh Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli pada kelmarin.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kehadiran calon Melayu daripada DAP di kerusi Parlimen Jerai, Othman berkata, pihaknya yakin ia tidak menjejaskan sokongan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) .

Katanya, keputusan DAP meletakkan calon Melayu adalah kemungkinan untuk mencari sokongan dalam kalangan anak-anak Melayu liberal di kawasan kampung atau pinggir bandar selain menunjukkan parti itu adalah parti untuk pelbagai kaum.

“Saya yakin terutama orang Melayu di Jerai, tidak akan mudah diperdaya. Kita tahu di Jerai ini, selalunya UMNO dan juga BN merupakan tonggak sokongan jadi apabila dimasukkan DAP sebagai calon, saya rasa mungkin mereka mahu memecah undi sokongan kepada BN.

“Jadi saya ingin menyeru kaum keluarga kita yang berada di Jerai ini amati dan perhati elok-elok jangan tersilap langkah jangan terpesona dengan dakyah kononnya mereka ini hendak menunjukkan bahawa DAP bahawa parti pelbagai kaum, ” katanya -BULETIN TV3

Loading...
Terkini