comscore
Tumpuan :
Politik

PKR kekal bertanding di DUN Sungai Bakap

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan kekal bertanding mewakili pimpinan Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi gabungan Perpaduan Pulau Pinang berkata, PKR diberi peluang itu mengambil kira faktor parti berkenaan menyandang DUN Sungai Bakap selama tiga penggal sebelum tewas dalam Pilihan Raya Negeri tahun lalu.

“PKR diputuskan untuk menghantar calon mewakili Perpaduan dalam PRK kali ini untuk bertanding semula di kerusi tradisi itu.

“Selari dengan itu, PKR juga sedia menyahut mandat itu daripada barisan pimpinan Perpaduan Pulau Pinang bagi mengembalikan kerusi berkenaan ke pangkuan Perpaduan.

“Keputusan itu diambil secara sebulat suara atas semangat perpaduan dan kebersamaan dalam Pilihan Raya Negeri lalu di mana gabungan Perpaduan bertanding buat kali pertama,” katanya selepas mesyuarat barisan pimpinan Kerajaan Perpaduan, di sini, petang tadi.

Mesyuarat itu dihadiri pimpinan atasan Pakatan Harapan (DAP, PKR, Amanah) dan Barisan Nasional di Wisma DAP di Jalan Rangoon, di sini.

Beliau turut mengumumkan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, yang juga Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang sebagai Pengarah PRK Dun Sungai Bakap bagi pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 6 Jun untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian PRK terbabit.

Kerusi Sungai Bakap diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Allayarham Nor Zamri Latiff, 56 tahun, meninggal dunia 24 Mei lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya kerana mengalami keradangan perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini