comscore
Tumpuan :
Politik

PKR mula kempen untuk 6 PRN

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Merchant Square. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: PKR akan memulakan kempen untuk enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menganjurkan Konvensyen Pilihan Raya bermula hujung minggu ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata Konvensyen Pilihan Raya Selangor, Pulau Pinang dan Kedah akan diadakan esok, sementara Negeri Sembilan pada Ahad.

“Seterusnya Konvensyen Pilihan Raya Kelantan dan Terengganu akan diadakan pada 21 Januari.

“Saya akan melancarkan konvensyen pilihan raya di semua negeri terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, beliau sudah memaklumkan jentera parti untuk meneruskan kempen di atas platform parti, sebagai PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk mengelakkan penggunaan jentera dan sumber kerajaan dalam pilihan raya ini.

“Saya akan berkempen dalam siri jelajah yang menggunakan trak, seperti sebelum menjadi Kerajaan Persekutuan, bermula bulan depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjemput seramai ahli PKR dan sukarelawan untuk hadir ke semua konvensyen pilihan raya negeri hujung minggu ini dan seterusnya pada 21 Januari.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tiga negeri di bawah pentadbiran PH tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan semua negeri itu dijangka mengadakan PRN serentak selepas habis penggal tahun ini.

Negeri di bawah pentadbiran PAS, Kelantan, Terengganu dan Kedah juga tidak membubarkan DUN masing-masing pada PRU15.

Konvensyen Pilihan Raya Selangor diadakan di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC) Shah Alam dari jam 10 pagi hingga 1 tengahari, sementara Pulau Pinang dan Kedah, ia dianjurkan di SP Plaza, Sungai Petani dari jam 8 hingga 10 malam.

Seterusnya, Konvensyen Pilihan Raya Terengganu diadakan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Konvensyen Pilihan Raya Kelantan pula akan diadakan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan, Kota Bahru dari jam 3 hingga 6 petang.

Loading...
Terkini