comscore
Tumpuan :
Politik

PKR Sabah disaran bertanding 35 kerusi DUN pada PRN akan datang

Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Sazalye Donol Abdullah ketika mengadakan sidang media di sebuah hotel di Kota Kinabalu hari ini.- Foto: NSTP

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah boleh bertanding sehingga 35 kerusi dan bukan 25 kerusi seperti dinyatakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam, sebelum ini.

Ahli MPN Sabah, Sazalye Donol Abdullah berkata secara peribadi beliau mahu PKR Sabah bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Katanya, 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dinyatakan Sangkar sebelum ini juga adalah pandangan peribadi beliau dan bukan keputusan rasmi PKR Sabah.

“Bukan setakat 25 kerusi tetapi bagi pandangan peribadi saya, 35 kerusi pun PKR boleh bertanding pada PRN Sabah akan datang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Kota Marudu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Sangkar semalam mengenai hasrat PKR Sabah untuk bertanding di 25 daripada 73 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Sangkar dilaporkan berkata jumlah kerusi DUN itu merangkumi semua 25 kawasan parlimen yang diputuskan dalam siri mesyuarat jelajah PKR di seluruh Sabah.

Katanya, perkara itu akan disampaikan kepada Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibincangkan dalam Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Sazalye berkata setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai jumlah sebenar kerusi yang mahu ditandingi parti itu pada PRN akan datang, namun mengakui mereka juga mahukan jumlah kerusi yang banyak.

Sementara itu, Sazalye menafikan berlaku perpecahan dalam PKR Sabah berikutan dakwaan ada pertentangan pendapat di antara pemimpinnya, termasuk dengan Pengerusi MPN.

Katanya, kontroversi dalam parti adalah perkara biasa bagi PKR sejajar kebebasan semua pemimpin untuk bercakap selaras dengan amalan demokrasi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini