comscore
Tumpuan :
Politik

PKR Sabah jamin kekalkan kestabilan politik negeri – Mustapha

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah yang baharu, Datuk Mustapha Sakmud.

KOTA KINABALU: PKR Sabah memberi jaminan untuk terus memberi komitmen terhadap usaha mengekalkan kestabilan politik negeri itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah yang baharu, Datuk Mustapha Sakmud berkata, komitmen itu sebagai jaminan sokongan terhadap kerajaan negeri yang ada sekarang sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan oleh Ketua Menteri.

“PKR Sabah akan terus memberi komitmen menjamin kestabilan politik Sabah sehingga DUN dibubarkan oleh Ketua Menteri,” katanya menerusi kenyataan malam tadi selepas beliau diumum sebagai Ketua PKR Sabah yang baharu menggantikan Datuk Dr Sangkar Rasam.

Mengenai pelantikan itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, beliau menerima lantikan itu sebagai taklif atau tanggungjawab yang diamanahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.

“Saya terima lantikan yang diamanahkan Presiden sebagai ‘taklif’ atau tanggungjawab dan bukan ‘tashrif’ atau keistimewaan.

“Perubahan ini menzahirkan nilai parti yang sentiasa membudayakan amalan demokrasi yang segar, di samping menyantuni dan mengangkat ‘local wisdom’ atau kearifan tempatan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, fokus PKR Sabah ketika ini ialah memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam kerangka gagasan Malaysia Madani yang selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selaras dengan pelantikan itu, beliau turut menggesa pucuk pimpinan parti di seluruh Sabah untuk merapatkan saf perjuangan dan berpadu di bawah pimpinan Perdana Menteri bagi mengangkat martabat rakyat dan negara.

Katanya, Konvensyen Khas PKR Sabah dan program-program pemantapan jentera juga akan diadakan dalam masa terdekat serta berkala sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menjelang.

PKR hari ini mengumumkan pelantikan beberapa pemimpin baharu bagi mengetuai kepemimpinan negeri, termasuk di Sabah yang sebelum ini berdepan kemelut berikutan sebahagian besar Ketua Cabang di negeri ini menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Pengerusi MPN sebelum ini.

Pada Mac lalu, Ketua Cabang PKR Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah mengetuai 15 Ketua Cabang dari seluruh negeri menandatangani akuan bersumpah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Sangkar dan memintanya meletak jawatan secara terhormat.

Kumpulan itu turut meminta Presiden PKR menimbangkan agar seorang pengerusi baharu dilantik sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini