comscore
Tumpuan :
Politik

PM akan tepati janji

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak terbabit dengan usaha memujuk anggota parlimen menyediakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong kepimpinannya sehingga tamat penggal.

Sebaliknya menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir sendiri mengulangi kenyataan tegasnya akan melepaskan jawatan seperti yang dijanjikan.

Perkara itu dimaklumkan Anwar selepas beliau mengadakan pertemuan Dr Mahathir di Putrajaya bagi membincangkan isu peralihan kuasa yang menimbulkan banyak spekulasi sejak kebelakangan ini.

Dalam pertemuan itu, Anwar membangkitkan usaha PAS, sekumpulan pemimpin UMNO dan sebilangan kecil pemimpin PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan SD bagi menyokong kepemimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

“Saya memaklumkan kepada Perdana Menteri memandangkan wujud muslihat licik sedemikian, maka pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018, yakni tegas menyokong kepimpinannya selaku Perdana Menteri Ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri Ke-8.

“Saya cenderung supaya beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) (November depan). Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini,” katanya.

Loading...
Terkini