comscore
Tumpuan :
Politik

PM hadiri PAU 2023, ahli UMNO diminta berlapang dada

JOHOR BAHRU: Semua ahli UMNO diminta berlapang dada dan terbuka menerima kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai tetamu kehormat pada perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023, Khamis ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta ahli tidak terpengaruh dengan tindakan segelintir pihak yang kononnya mahu memboikot persidangan itu.

Ahmad yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, langkah menjemput Anwar dan juga 18 Presiden Parti gabungan Kerajaan Perpaduan itu adalah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

“Ahli parti kena berlapang dada (dengan kehadiran Anwar). Dalam satu gabungan begini kita perlu menerima kehadiran pimpinan parti politik gabungan.

“Apatah lagi kita seangkatan dan perlu berhadapan perang politik yang lebih besar iaitu enam PRN tidak lama lagi, maka persediaan serta perpaduan yang lebih jitu perlu ada,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Veteran UMNO Johor di Bangunan Umno Johor, hari ini.

Jumaat lalu, PAU 2023 dilaporkan akan mencatat sejarah apabila dijangka dihadiri Anwar sebagai tetamu kehormat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, Perdana Menteri dijadual hadir pada acara pembukaan PAU 2023 pada Khamis ini dan disertai semua Presiden bagi 19 parti di bawah Kerajaan Perpaduan.

Ini adalah kali pertama Anwar menghadiri PAU selepas dipecat daripada parti itu pada 1998.

Loading...
Terkini