comscore
Tumpuan :
Politik

PM pilihan BN masih Ismail Sabri- Tok Mat

Oleh: Izzatie Rizan

RANTAU: Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian bahawa Datuk Seri Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri parti itu sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata itu adalah janji parti yang sudah dimuktamad dan rakyat diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang.

“Itu ialah janji kita…parti telah membuat keputusan dan setakat hari ini tidak ada apa-apa perubahan dan BN masih guna pakai itu.

“Namun seperti kita tahu BN akan mengemukakan nama kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-pertuan Agong tetapi kuasa melantik Perdana Menteri ini adalah kuasa Agong di peringkat Persekutuan,” katanya ketika ditemui media dalam majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Kuala Sawah Rantau, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan pemimpin pembangkang yang memainkan propaganda bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah Perdana Menteri sekiranya BN menang pada 19 November nanti.

Menurut beliau, dakwaan seperti itu ibarat pembangkang sudah ketandusan idea untuk meraih undi rakyat.

“Dulu masa kempen 2018 mereka guna modal 1MDB penipu, penyangak dan penyamunkan. Sekarang saya rasa dah tak ada lagi.

“Dulu boleh tabur janji bulan dan bintang tapi tak boleh laksanakan… rakyat Malaysia dah tahu dan tak akan tertipu lagi dengan janji Pakatan Harapan.

“Jadi sekarang modal peluru apa pula nak guna? Maka gunalah peluru serang karektor dan laga-lagakan pemimpin Umno namun bagi saya cara itu tidak akan menjadi kudis buat kami Barisan Nasional,” katanya.

Loading...
Terkini