comscore
Tumpuan :
Politik

PM yakin lebih ramai MP pembangkang sertai Kerajaan Perpaduan

FOTO: NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang akan mula menyertai Kerajaan Perpaduan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berpendapat, ini berikutan situasi mereka yang hanya disajikan dengan janji-janji palsu termasuklah usaha untuk mengambil alih kerajaan.

“Mereka diberikan harapan, walaupun saya katakan atap ini bukan atap rumbia tetapi atap konkrit, mereka berpindah dari Dubai ke London, dan mereka lupa atap konkrit jauh lebih tebal.

“Dan apabila terhakis harapan, ahli-ahli Parlimen yang dijanjikan perubahan yang dijanji akan berlaku ini, seorang demi seorang akan meninggalkan parti mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian penutup Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak hari ini.

Tambah Anwar, kedudukan Kerajaan Perpaduan katanya semakin dilihat positif ditambah pula dengan sokongan tidak berbelah bagi menerusi gabungan di Sabah dan Sarawak.

Tegasnya, ahli politik perlu menerima hakikat bahawa kerajaan di bawah pentadbirannya ini akan mampu bertahan sehingga akhir penggal.

“Yang di-Pertuan Agong pada malam tadi juga menasihatkan agar pimpinan politik menerima perpaduan perlu wujud dan kepimpinan perlu menumpukan pada memacu pertumbuhan, dan biar bicara soal merancang setelah lima tahun (akhir penggal).

“Saya yakin juga Tuanku Sultan Johor yang akan menjadi Agong akan mempertahankan pendirian yang sama,” katanya lagi.

Anwar bagaimanapun mengingatkan kesemua jemaah menterinya agar tidak begitu selesa dengan kedudukan berkenaan sebaliknya perlu fokus terhadap memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Tegasnya, kerajaan masih mempunyai baki empat tahun untuk membuktikan kejayaan mampu dibawa.

Dalam masa sama, Anwar berkata, kerajaan katanya tidak akan sesekali mengetepikan hak majoriti Melayu di negara ini selain bertegas akan kekal dengan prinsip sedia ada selari dengan pendekatan Madani.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak, Pengerusi Pakatan Harapan Perak Datuk Seri Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming.

Loading...
Terkini