comscore
Tumpuan :
Politik

PN janji jadi pembangkang konstruktif di DUN Pahang

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Kesyukuran PAS Kubang Kerian, di Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh, hari ini.

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan menjadi pembangkang yang membina di Pahang selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung menubuhkan kerajaan di negeri itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perbincangan akan dilakukan di peringkat kerajaan negeri selain berusaha memberi idea terbaik bagi kemajuan dan pembangunan di Pahang.

PN juga bersedia memberi teguran membina dan dalam masa sama mengharapkan setiap keputusan yang dibuat kerajaan negeri dapat memberi momentum yang terbaik kepada negeri itu.

“Sebelum keputusan gabungan kerajaan negeri ini dibuat, saya beberapa kali berunding dengan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, untuk cari jalan penyelesaian kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang masih tergantung dengan PN memenangi 17 kerusi, BN (16) serta PH, lapan kerusi.

“Sebelum ini, kita (PN) mencadangkan beliau sebagai Menteri Besar melalui muafakat antara PN dan BN dengan pembahagian jawatan EXCo yang sama rata, namun BN membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH.

“Ada cadangan untuk mengadakan penyatuan tetapi pihak kami menolak selepas hanya ditawarkan satu kerusi EXCO daripada 10 kerusi yang ada di negeri ini.

“Kami kemudian memaklumkan kepada,Yang di-Pertuan Agong dan pemangku Raja Pahang, tentang pendirian BN selain pihak istana turut memaklumkan bahawa sudah menerima cadangan BN akan bersama PH di Pahang,” katanya ketika ditemui di Majlis Kesyukuran PAS Kubang Kerian, di Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akur dengan gabungan berkenaan dan PN berjanji menjadi pembangkang yang konstruktif di Pahang.

Beliau turut berkongsi akan perkembangan gerak kerja di DUN Tioman, selain mengakui mendapat kerjasama baik daripada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut sama turun padang berkempen untuk PRU-15 DUN Tioman pada 7 Disember ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan seorang Bebas.

Calon wanita tunggal Nor Idayu Hashim yang mewakili PN dicabar oleh calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang juga penyandang kerusi itu, selain Osman A Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Loading...
Terkini