comscore
Tumpuan :
Politik

PN kekal pertaruhkan wakil PAS di PRK Sungai Bakap

KUALA LUMPUR: Calon daripada PAS akan kekal mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai depan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan pihaknya akan mengumumkan calon untuk PRK itu pada 15 Jun ini.

“Penyandang yang meninggal dunia adalah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) PAS, jadi kita akan kekalkan begitu. Kerusi itu adalah kerusi PAS.

“Kita akan umumkan calon pada 15 Jun. Selepas itu, calon akan diberikan watikah untuk bertanding di bawah Perikatan Nasional,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di ibu pejabat gabungan politik itu di sini malam ini.

Dalam pada itu, beliau berkata PN sudah menubuhkan jawatankuasa untuk pilihan raya di peringkat Pusat dan negeri, sambil menambah jentera gabungan itu sudah bersedia untuk bekerja demi kemenangan PN.

Muhyiddin juga sekali lagi menyangkal dakwaan bahawa PAS dan PN tidak bekerjasama dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

“Walaupun calon PAS, kita akan bekerjasama dengan bersungguh-sungguh sebagai PN di Sungai Bakap.

“Pihak lain akan turun padang untuk membantu. Kami mempunyai presiden GERAKAN dan Presiden MIPP di sini bersama saya dan sudah tentu juga akan berada di sana (di Sungai Bakap) sebagai jentera.

“Jadi kami akan turun padang untuk mendapatkan sokongan pengundi. Kami harap semua pengundi di Sungai Bakap akan terus menyokong calon Perikatan Nasional kami,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap dan 22 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini