comscore
Tumpuan :
Politik

PN letak empat calon di Sarawak

KUCHING: Perikatan Nasional (PN) meletakkan empat calon di Sarawak dengan tiga daripadanya mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan seorang lagi calon PAS.

Daripada empat calon terbabit, dua ialah penyandang yang akan mempertahan kerusi yang dimenangi pada 2018.

Mereka ialah Datuk Ali Biju yang akan mempertahan kerusi Parlimen Saratok dan Jugah Muyang pula akan mempertahan kerusi Lubok Antu.

Seorang lagi calon BERSATU yang akan mewakili PN ialah Duke Janteng yang akan bertanding di Parlimen Bintulu, manakala calon PAS yang akan bertanding di Parlimen Batang Lupar, akan diumumkan kemudian.

Ali dalam kenyataan sejurus pengumuman senarai calon oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Muhyiddin untuk beliau membawa lambang PN di Sarawak pada PRU15.

Timbalan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli itu berkata, keputusan Muhyiddin yang meletakkannya bertanding sebagai PN di Saratok bukanlah satu isu.

Ia berikutan kontroversi yang tercetus pada pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), Disember tahun lalu apabila Ali mengambil keputusan menarik diri sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian dan menyokong calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“PN sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dengan GPS rakan kongsi kami.

“Sebagai Timbalan Menteri Persekutuan, saya seronok berkhidmat untuk negara bersama rakan-rakan dari GPS,” katanya.

Pada PRU15, Ali akan berdepan cabaran GPS yang akan merampas kerusi yang dimenanginya ketika mewakili PKR pada 2018.

Ali menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Subeng Mula di Parlimen Saratok pada 2018 dengan meraih majoriti 989 undi.

Sementara itu, Jugah pula menang dengan majoriti 1,059 undi dalam persaingan tiga penjuru dengan Robert Pasang Alam (BN) dan Nicholas Bawin Anggat (PKR) di Parlimen Lubok Antu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini