KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) mengesahkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung gabungan itu manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Ketua Penerangan.
Menurut Mohamed Azmin dalam kenyataan malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat itu turut memaklumkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita PN.
Beliau berkata, BERSATU turut menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN, manakala Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai anggota MT PN selaras dengan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.
“Mesyuarat MT PN juga membincangkan dan mengambil maklum perkembangan politik semasa di Sabah dan mengambil ketetapan bahawa Perikatan Nasional akan menyertai Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan selewat-lewatnya November 2025,” katanya.
Beliau berkata, PN Sabah diberikan tanggungjawab untuk membuat persiapan dan perbincangan dalam merangka strategi untuk membentuk kerajaan baharu di negeri itu.
MT PN juga, katanya menerima penubuhan Jabatan Dasar dan Strategi yang berperanan dalam semua isu-isu strategik dan pelan tindakan strategik serta bertanggungjawab kepada kaji selidik berkaitan isu semasa negara. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.