comscore
Tumpuan :
Politik

PN tidak didominasi BERSATU – Tuan Ibrahim

Foto hiasan.

KUALA NERUS : PAS menegaskan Perikatan Nasional (PN) tidak didominasi BERSATU walaupun segala keputusan pakatan itu diumumkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sudah menjadi amalan lazim bagi pengerusi atau pemimpin sesuatu pakatan parti mengumumkan hasil mesyuarat bersama anggota gabungan.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, segala keputusan diumumkan Muhyiddin adalah keputusan bersama dibuat parti komponen dalam gabungan PN itu.

“PN mempunyai majlis tertinggi dan sering mengadakan perjumpaan antara Muhyiddin, Presiden PAS (Tan Sri Abdul Hadi Awang) serta parti komponen lain.

“Sama dengan Barisan Nasional (BN). Orang melihat BN didominasi UMNO, padahal bersama-sama. Jadi, samalah kita pun apabila bermesyuarat, Muhyiddin akan mempengerusikan dan kenyataan dikeluarkan beliau,” katanya selepas Program Sepetang Bersamanya di Perkarangan Hadapan Pasar Batu Enam, hari ini.

Yang turut hadir, calon PAS di Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Alias Razak dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus, M Shukrimun Samsuddin.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, penggunaan logo PAS di Terengganu dan Kelantan dibuat dengan mengambil kira dua negeri itu menjadi tunjang kekuatan PAS serta diakui PN.

“Sebab itu PN memberi kebenaran supaya menggunakan logo PAS di Terengganu dan Kelantan kerana mudah mendapat sokongan berbanding menggunakan logo lain,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata PN kini hanya fokus kepada usaha mentadbir negara secara bersendirian selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tanpa gabungan parti lain. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini