comscore
Tumpuan :
Politik

Polis Johor mula undi awal sejak 8 pagi

Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Sebanyak 63 pusat mengundi bersiap sedia dibuka bagi proses pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bermula jam 8 pagi tadi.

Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak untuk mengundi awal.

Antara kemudahan mengundi awal di negeri ini termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Jalan Tebrau, di sini serta 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri selain beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan sebagai pusat mengundi.

Anggota tentera pula akan mengundi di Kem Mahkota di Kluang, Kem Tebrau di Ulu Tiram, Kem Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD) di Segamat.

Anggota PGA dan pasangan masing-masing mengundi di Batalion ke-5, pasukan PGA di Simpang Renggam di Kluang dan Batalion ke-6 PGA di Bakri, Muar.

Sementara itu, tinjauan di IPK Johor mendapati hampir 300 anggota dan pegawai polis sudah beratur sejak jam 7.45 pagi tadi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Semalam, media melaporkan seramai 22,689 pegawai dan anggota polis yang bertugas di seluruh negeri ini akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, jumlah itu membabitkan anggota polis, tentera dan juga pasangan masing-masing di 63 pusat mengundi dan 86 saluran.

Loading...
Terkini