comscore
Tumpuan :
Politik

Polis siasat kes khianat sepanjang PRU-15 secara telus

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan melakukan siasatan telus berhubung kes khianat mengoyakkan poster, buang bendera parti politik dan lain-lain kesalahan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kes berkenaan bukan kali pertama berlaku, malah pernah dilaporkan pada PRU yang diadakan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kes khianat pada PRU-15 kali ini berskala kecil, tidak ketara dan masih terkawal.

“PDRM akan menjalankan siasatan telus tanpa mengira sebarang parti politik yang melakukan kesalahan khianat pada PRU15 ini,” katanya selepas meninjau dan mengundi di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mengenai atur gerak trafik untuk melancarkan perjalanan pengundi pulang mengundi di kawasan masing-masing sempena PRU15, Acryl Sani berkata PDRM akan menggerakkan anggota polis trafik di lokasi strategik di seluruh negara.

“Kerajaan umumkan cuti pelepasan pada 18 dan 19 November untuk pergerakan orang ramai balik mengundi di kawasan masing-masing mengundi. PDRM akan membuat persediaan awal mengatur gerak anggota trafik bagi mengawal lalu lintas agar tidak berlaku kemalangan,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini