comscore
Tumpuan :
Politik

Potensi Kubang Kerian jadi hub perdagangan

FOTO: NSTP

Oleh Nurul Amalina Zainudin

KOTA BHARU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kubang Kerian, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi komited untuk membangunkan kawasan itu, supaya anak muda dapat berkhidmat di negeri itu.

Menurut Datuk Nurul, Kubang Kerian berpotensi untuk menjadi hub perdagangan, untuk mengembangkan potensi keusahawanan anak-anak muda, dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan untuk belia di kawasan setempat.

Beliau mahu melihat potensi golongan belia dimanfaatkan sepenuhnya berbanding khidmat tenaga disalurkan ke tempat lain.

“Saya nampak memang ramai berpindah kerana bila habis belajar, tiada pekerjaan, mahu tak mahu kena berhijrah. Faktor ekonomi negeri tu satu, tapi untuk ekonomi setempat ni (perlu dibangunkan) sebab Kubang Kerian ni dia ada bandar, pertengahan, dan ada kawasan yang masih memerlukan bantuan.

“Jadi kalau kita majukan ekonomi setempat tu saya rasa mungkin sedikit sebanyak dapat bantu anak muda cari pekerjaan,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyantuni penduduk di Jalan Bukit Marak, Binjai, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai kempen, beliau menggunakan pendekatan media sosial bagi menarik pengundi, khususnya anak muda yang mencari rezeki di luar Kelantan.

Ujarnya, ia salah satu strategi dalam menyampaikan hasrat pembangunan di Parlimen Kubang Kerian terutama bagi pengundi yang berada di luar kawasan.

“Ada orang cakap pun, ini PRU media sosial, so kita tekankan benda itu dan semestinya orang muda lihat ni sebagai satu platform menyampaikan maklumat bagi mereka, teruma mereka yang tidak tengok televisyen, jarang pula beli surat khabar, jadi tu trend sekarang,” katanya.

Beliau berharap dengan mengikuti perjuangan calon, pengundi muda khususnya dapat membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Loading...
Terkini